IPOH: Polis menahan seorang pengurus dan dua guru taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Meru Perdana 2 di sini, bagi membantu siasatan kes dera lima kanak-kanak di taska berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, ketiga-tiga wanita yang berumur antara 26 hingga 51 tahun ditahan selepas dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Jumaat.

Menurutnya, terdahulu pada Khamis, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berumur 31 tahun yang mendakwa anak perempuannya berusia dua tahun mengalami kecederaan di lengan kiri ketika diambil dari taska berkenaan.

“Pengadu mengesyaki kecederaan anaknya adalah akibat didera oleh guru di taska tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Yahaya berkata, ketiga-tiga wanita berkenaan ditahan reman selama seminggu sehingga 14 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurut beliau, sehingga kini, polis telah menerima lima laporan melibatkan lima mangsa kanak-kanak berusia dalam lingkungan satu hingga dua tahun, yang dijaga di taska tersebut.

Katanya, polis sedang melengkapkan siasatan kes dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.